
BANGKOK, 13 Nov -- Harga getah global dijangka menyaksikan aliran kenaikan menjelang separuh kedua tahun depan dan mungkin mencecah AS$2.45 (AS$1= RM4.13) sekilogram seawal 2022.
Ketua Pegawai Pelaburan ALA Advisors Pte Ltd Dar Wong berkata harga getah berkemungkinan jatuh lagi pada separuh pertama 2021 dan kemudian membuat pemulihan 'berbentuk V' selepas pertengahan 2021.
"Dari sekarang sehingga Januari tahun depan, kami meramalkan harga getah bergerak tanpa banyak berubah antara US$1.30 dan US$1.70 sekilogram. Apabila pasaran mula mencecah pada US$1.70 sekilogram, harga getah akan mula melonjak.
"Jika harga getah mula memulih pada tahun depan, ia akan berlaku seperti satu gelombang, sebelum mencecah paras tertinggi antara 2022 hingga awal 2024.
"Saya yakin ia akan mencecah paras kemuncak baharu daripada apa yang kita saksikan pada 2011," katanya semasa Persidangan Getah Global (GRC) yang diadakan melalui format hibrid, yang merangkumi kehadiran secara individu serta maya.
Harga komoditi termasuk getah, bergerak menyongsang kepada dolar US.
Beliau berkata dolar US yang lebih lemah cenderung untuk meningkatkan semua komoditi dalam denominasi dolar US dan apabila kekuatan dolar US berkurangan dalam kitaran pengembangan serta penguncupan berulang kali, harga getah akan pulih malah, mampu mencapai tahap yang tinggi.
Wong mengunjurkan harga getah akan berkembang secara beransur-ansur apabila Presiden Amerika Syarikat yang baru dilantik merangka belanjawan terbaharu pada Mac atau April akan datang bagi menangani kelembapan ekonomi.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC), R.B. Premadasa berkata pengeluaran getah global dijangka menyaksikan penambahan kapasiti selanjutnya sehingga 2023 dan tidak lagi berkembang selepas itu.
"Jika harga bertukar menjadi menarik bertepatan dengan ketiadaan pengembangan kawasan matang antara 2023 dan 2024, peladang mungkin mengamalkan langkah jangka pendek untuk memaksimumkan hasil daripada pokok sedia ada. Dalam kes tersebut, purata hasil daripada pokok matang sedia ada boleh bertambah baik dalam tempoh setahun akan datang.
"Pasaran dijangka menerima penawaran yang terhad pada 2024 atau 2025 walaupun permintaan meningkat pada pertumbuhan normal," katanya.
Sementara itu, Premadasa berkata pengeluaran getah global bagi tahun ini diunjur turun 6.8 peratus kepada 12.90 juta tan daripada 13.84 juta tan pada tahun lepas, manakala penggunaan getah akan merosot 7.3 peratus kepada 12.76 juta tan berbanding 13.77 juta tan.
-- BERNAMA
https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1900894
Sumber : Bernama
