JELEBU: Pekebun kecil getah seluruh negara digalak menggunakan kaedah integrasi tanaman bagi memaksimumkan penggunaan tanah dan meningkatkan produktiviti ladang, sekali gus meningkatkan pendapatan.
Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Ahmad Nazlan Idris, berkata banyak tanaman seperti nanas sesuai ditanam secara integrasi dengan getah namun ia bergantung kepada sistem pokok getah ditanam.


Beliau berkata, selain nanas, tanaman lain yang sesuai ditanam adalah cili, serai, kacang tanah, pisang, labu, keladi, ubi kayu, tembikai, jagung dan keledek.
Katanya, tanaman integrasi adalah pendekatan alternatif untuk meningkatkan produktiviti ladang dan juga pendapatan penoreh bagi memperbaiki taraf hidup mereka.
"Sistem tanaman integrasi dilihat dapat mengatasi masalah produktiviti hasil getah dan pendapatan penoreh disebabkan saiz ladang yang tidak ekonomik dan harga getah tidak stabil.
"Mempelbagaikan tanaman dari sesebuah ladang boleh meningkatkan pendapatan. Walaupun tanah tidak luas tetapi mampu memberi hasil pengeluaran yang tinggi.
Beliau berkata demikian selepas melawat projek integrasi getah dengan nanas MD2 di ladang getah Pusat Latihan Getah (RTC) Lakai, Simpang Durian, hari ini.
Hadir sama,Timbalan Ketua Pengarah(Penyelidikan dan Inovasi) LGM, Dr Amir Hashim Md Yatim.
Ahmad Nazlan berkata, seorang pekebun di sini mampu meraih pendapatan tambahan purata RM3,000 sebulan selepas dua musim nanas MD2 ditanam di tanah seluas 0.4 hektar dengan integrasi getah.
"Bagi pekebun yang baru atau ingin menanam semula getah, kita galakkan mereka menanam secara sistem pepagar dengan tanaman kontan ditanam di tengah, di kelilingi pokok getah," katanya.
Ahmad Nazlan berkata, tanaman kekal lain seperti durian, nangka, salak, petai, jering dan gaharu dalam kebun getah juga sesuai ditanam bergantung kepada keluasan tanah serta susunan getah ditanam.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/708624/tanaman-integrasi-bantu-tingkat-pendapatan-penoreh
Sumber: bharian.com.my
Oleh Roselan Ab Malek