Kota Bharu: Kira-kira 99.9 peratus banduan di negeri ini mendapat kerja dalam pelbagai sektor di bawah program Corporate Smart Internship (CSI).
Pengarah Penjara negeri, Mat Yaacob berkata, kesemua banduan atau dipanggil sebagai prospek itu terdiri daripada mereka yang menjalani Sistem Parol dan Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL).
Beliau berkata, setakat ini, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan 48 majikan dalam pelbagai sektor atau syarikat, antaranya perkilangan, ladang dan spa.
"Dengan kerjasama ini, ia memberi lebih peluang pekerjaan kepada banduan dan mereka diterima bekerja dengan syarikat. Kebanyakan banduan ini ditawarkan bekerja sebaik dibebaskan.
"Ini menunjukkan bahawa majikan semakin terbuka untuk mengambil prospek (banduan) untuk bekerja dengan syarikat mereka," katanya pada sidang media selepas Program Hari penjara ke-234 peringkat Kelantan dan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Penjara Pengkalan Chepa di Dewan Tan Sri Murad Ahmad di Penjara Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Pemangku Pengarah Penjara Pengkalan Chepa Mohamad Saizi Ibrahim menyerahkan tugas kepada Pengarah baharu, Kamarulzaman Ismail.
Mengulas lanjut Mat berkata, program CSI di negeri ini berjaya berikutan mendapat kerjasama yang sangat baik dengan majikan dan berharap lebih ramai dalam kalangan mereka menyertai program itu.
"Kita juga bekerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia cawangan Kelantan dan 97 banduan sudah mendapat sijil penoreh getah serta sudah masuk ke ladang untuk bekerja," katanya.
PUTRAJAYA: Satu pangkalan data bagi usahawan dan syarikat bumiputera perlu diwujudkan bagi mengelak ketirisan dan membendung kegiatan ‘ali baba’.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pangkalan data itu penting bagi membolehkan kerajaan melaksanakan saringan dan mengesahkan sesuatu perniagaan berkaitan bumiputera secara berkesan.
Beliau berkata, pangkalan data ini juga dapat membantu memastikan hanya usahawan bumiputera yang layak menerima projek atau insentif yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Kita nak pengkalan data ini, kalau tak ada sampai bila-bila kita akan lakukan kesilapan termasuk memberi peluang atau mendidik usahawan yang bukan usahawan sebenar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Diskusi Madani 1: Aspirasi Perpaduan Memperkukuhkan Agenda Bumiputera sempena Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di sini, hari ini.
Pada sesi diskusi sama, Johari berkata, konsep ali baba kini mula menjadi punca utama majoriti usahawan bumiputera gagal mencapai kejayaan.
“Negara kita sudah merdeka 67 tahun, bumiputera ada 70 peratus tapi kita masih lagi terperangkap dalam ekonomi seperti hari ini.
“Kita tak berjaya lahirkan usahawan seperti masyarakat Cina yang berjaya kerana mereka tekun dan fokus buat kerja,” katanya.
Katanya, dalam tempoh 25 tahun, kerajaan telah mengagihkan kontrak ataupun projek dianggarkan bernilai RM1.7 trillion kepada usahawan bumiputera.
Namun, katanya, amat malang dalam konsep ‘Ali Baba’ ini menyaksikan ramai usahawan bumiputera mengalami kerugian berbanding ‘ejen’ bumiputera.
KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah mewujudkan jawatankuasa teknikal untuk melindungi syarikat tempatan dalam sektor komoditi bagi mendepani isu-isu berbangkit.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, jawatankuasa teknikal tersebut akan memastikan bahawa syarikat-syarikat Malaysia dalam sektor tersebut akan dapat menjalankan perniagaan mereka serta mengeksport tanpa ada sebarang halangan dari negara luar.
"Hari ini saya telah mengadakan satu perbincangan yang sangat penting bersama Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk memastikan produk-produk berkaitan komoditi Malaysia yang dieksport ke luar negara tidak terjejas akibat daripada Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR). "EUDR ini boleh memberi implikasi dan menjejaskan produk-produk sektor komoditi Malaysia untuk dieksport jika kita tidak mematuhinya," kata beliau dalam satu hantaran di laman X malam tadi.
Johari berkata nilai eksport bagi sektor komoditi Malaysia mencecah lebih RM160 bilion setahun dan ia menyumbang sebanyak 5.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menghasilkan lebih satu juta peluang pekerjaan.
Tambahnya, Malaysia juga berpotensi mendapat persepsi negatif di peringkat global sekiranya tidak melibatkan diri secara langsung dalam menangani isu-isu hutan dan kelestarian alam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Nilai jualan keseluruhan bagi sektor pembuatan mencecah RM1.8 trilion pada 2023, meningkat sedikit sebanyak 0.2 peratus berbanding 2022, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.
Dalam kenyataan Perangkaan Pembuatan Bulanan Malaysia bagi Disember 2023 yang dikeluarkan hari ini, jabatan itu berkata nilai jualan sektor pembuatan mencatat penurunan 4.2 peratus kepada RM149.9 bilion pada Disember 2023 iaitu yang terbesar sejak Mei 2020 (20.4 peratus) dan dipengaruhi terutamanya oleh penyusutan berterusan dalam subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik sejak Jun 2023.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan itu mencatat negatif 13.6 peratus pada Disember 2023 (November 2023: -10.8 peratus).
"Ini ditambah lagi dengan penurunan subsektor peralatan elektrik dan elektronik sebanyak 4.6 peratus (November 2023 : -5.3 peratus) manakala subsektor makanan, minuman dan tembakau susut 2.6 peratus (November 2023: 2.0 peratus).
"Berbanding bulan sebelumnya, nilai jualan menguncup sebanyak 3.3 peratus berbanding RM155.0 bilion yang dicatatkan pada November 2023 (-1.1 peratus)," katanya.
Sementara itu, Jabatan Perangkaan berkata nilai jualan industri berorientasikan eksport yang mewakili hampir 70 peratus daripada jumlah jualan, terus merosot sebanyak 8.4 peratus pada Disember 2023 selepas menguncup 6.9 peratus pada November 2023.
"Penurunan itu terutamanya disebabkan penurunan pembuatan kok dan produk petroleum bertapis pada negatif 24.9 peratus dan diikuti oleh pembuatan minyak dan lemak sayuran serta haiwan (-8.6 peratus) dan pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (-4.8 peratus)," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata industri berorientasikan domestik terus kukuh dengan merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 6.7 peratus pada Disember 2023 (November 2023: 8.8 peratus) disokong terutamanya oleh pengembangan kukuh dalam pembuatan produk logam, kecuali mesin dan kelengkapan sebanyak 11.5 peratus.
Pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler mencatat pertumbuhan 8.0 peratus manakala pembuatan produk pemprosesan makanan meningkat 6.8 peratus.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan kedua-dua eksport dan domestik masing-masing menurun 3.9 peratus dan 1.8 peratus.
"Sektor pembuatan turut menggaji 2.37 juta pekerja, peningkatan sebanyak 1.7 peratus berbanding 2.34 juta orang pada Disember 2022. -- BERNAMA