BERITA AGRIKOMODITI 2024

DUNGUN: Dua beranak di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) di sini kempunan menikmati hasil tanaman kelapa sawit yang diusahakan apabila musnah diserang gajah liar pada Selasa lalu.

Osman Maliki, 23, berkata, dia dan bapanya, Maliki Said, 56, terkejut apabila melihat banyak pokok kelapa sawit, ubi, pisang dan kelapa musnah dirosakkan gajah liar.

“Masa datang ke kebun, saya tengok banyak pokok tumbang dengan tandan kelapa sawit yang bersepah, memang saya agak terkejut.

“Ada beberapa kesan tapak kaki gajah di sekitar kebun saya. Saya dan ayah agak sedih sebab tanaman ini kita telah usahakan lebih dua tahun dan hasil tanaman pun tak sempat kutip lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di kebunnya, di sini, hari ini.

Anak ketujuh daripada sembilan adik beradik itu berkata, kejadian tersebut bukan pertama kali berlaku, malah lebih dua kali kebun seluas kira-kira tujuh hektar itu dimasuki gajah sejak dia dan bapanya mengusahakan tanaman itu.

“Bagi mengelak serangan berulang, kami dah pasang pagar elektrik di sekeliling kebun, namun pada Selasa lalu gajah tersebut turut merempuh dan merosakkan pagar elektrik, mungkin saiznya agak besar.

“Saya dan bapa syak, gajah itu kembali masuk ke kebun kami pada awal pagi Khamis sebab terdapat kesan serangan baharu,” katanya.

Osman berkata, dia dan bapanya bimbang jika gajah tersebut kembali menceroboh kebun mereka.

“Kadangkala saya dan bapa terpaksa berkawal dan membuat unggun api pada waktu malam bagi mengelak gajah kembali serang tanaman,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, pihaknya telah membuat aduan berkaitan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri.

“Kita nasihatkan pekebun supaya mengambil tindakan berjaga-jaga dan lebih berhati-hati serta tidak mengambil risiko bertindak sendiri bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya. – UTUSAN

 

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1075591/negeri-sembilan-sasar-pulih-2000-hektar-kebun-getah-terbiar#google_vignette

 

Sumber : Harian Metro

KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggesa pemain industri minyak sawit untuk merebut peluang mengeksport produk tokotrienol sawit ke China selepas mendapat kelulusan untuk mendaftarkan produk itu di republik tersebut baru-baru ini.

Susulan kelulusan diterima pada 13 Mac, tokotrienol sawit (Vitamin E) kini dibenarkan untuk eksport dan digunakan dalam aplikasi makanan di China.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata kelulusan itu turut memberi peluang kepada pemain industri untuk memanfaatkan potensi mengukuhkan kedudukan pasaran dan pendapatan mereka dengan ketara dalam antara pasaran terbesar dunia.

"Kelulusan ini antara hadiah terbaik yang dianugerahkan oleh kerajaan China kepada industri sawit Malaysia sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, melambangkan persahabatan yang kukuh dan berkekalan serta saling menghormati dan bekerjasama," katanya dalam kenyataan.

Selain itu, kelulusan menggariskan komitmen dan usaha berterusan sektor minyak sawit Malaysia untuk mencapai kecemerlangan dalam mematuhi piawaian kesihatan dan keselamatan antarabangsa.

Ia turut menunjukkan kerjasama strategik antara badan kerajaan dan pemain industri dalam menghadapi kerumitan akses pasaran global dan kelulusan kawal selia.

Kelulusan pendaftaran produk tokotrienol sawit bukan sahaja membuka ruang baharu kepada industri minyak sawit Malaysia untuk menembusi pasaran China tetapi turut berpotensi memberi impak positif yang ketara kepada ekonomi Malaysia, menurut MPOB.

"Peningkatan eksport tokotrienol ke China boleh membawa kepada peningkatan yang ketara kepada hasil negara, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemampanan dalam sektor pertanian," katanya.

Menurut MPOB, agensi itu bersama pemain industri kekal komited untuk memanfaatkan peluang bagi meningkatkan penerimaan produk minyak sawit Malaysia di China dan seterusnya, memastikan pertumbuhan dan kemampanan industri yang berterusan.

-BERNAMA

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/04/1231669/syarikat-minyak-sawit-digesa-eksport-produk-tokotrienol-ke-china

 

Sumber : Berita Harian

JEMPOL: Kerajaan Negeri menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyasarkan 2,000 hektar kebun getah tidak ditoreh milik pekebun kecil di negeri ini akan dipulihkan tahun ini.

Exco Desa, Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Seri Jalaluddin Alias berkata, jumlah disasarkan itu sebahagian daripada keseluruhan 15,000 hektar kebun getah terbiar seluruh negeri.

“Pelbagai sebab menyebabkan kebun terbiar dan tidak ditoreh antaranya faktor pekebun itu sendiri seperti sudah berusia.

“RISDA sudah diarah mengenal pasti kebun getah terbiar itu dan menjelang akhir tahun ini, kita mahu 2,000 hektar kebun getah terbiar itu dipulihkan.

“Kita mahu usaha pemulihan kebun getah terbiar ini dapat diselesaikan segera dan berharap proses pemulihan ini tidak tergendala akibat pelbagai masalah dan akhirnya menemui kegagalan,” jelas Jalaluddin.

Jalaluddin berkata demikian selepas merasmikan Karnival Usahawan Risda (KUR)@Ekspo Raya Jempol di Bahau.

Menurut Jalaluddin, jika semua kebun terbiar boleh ditoreh semula, ia sekali gus meningkatkan peratusan kawasan penanaman getah di negeri ini.

“Dalam perkembangan lain, Jalaluddin berkata RISDA tidak akan menganjurkan program jualan murah seperti pernah dilaksanakan agensi itu sebelum ini.

“Di negeri ini sudah terdapat tiga program jualan murah bagi membantu rakyat iaitu Jualan Agro Madani, Jualan Rahmah dan Jualan Nismilan Prihatin,” katanya.

Dalam pada itu, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata KUR memberi peluang kepada 34 usahawan RISDA menjual produk masing-masing sepanjang Ramadhan dan menjelang sambutan Aidilfitri.

 

https://negerikita.org/negeri-sembilan-sasar-pulih-2000-hektar-kebun-getah-terbiar/

 

Sumber : Negeri Kita

 

KUALA NERANG: Harga getah yang tidak menentu mendorong seorang penoreh dari Kampung Musa di sini mengusahakan tanaman cendawan Volvariella atau cendawan jerami sejak lapan tahun lepas dan kini menjadi sumber pendapatan utama.

Ismail Ibrahim, 67, berkata berbanding pendapatan sebagai penoreh getah iaitu sekitar RM1,500 sebulan sebelum ini, dia kini mampu menjana pulangan sehingga RM3,000 sebulan dengan menjual cendawan itu yang turut dikenali sebagai cendawan kelapa sawit.

"Saya mula mengusahakan tanaman cendawan ini pada 2016 di kawasan kebun getah saya untuk mencari sumber pendapatan sampingan disebabkan harga getah tidak menentu pada masa itu.

"Tanaman ini hasilnya boleh dituai dalam tempoh kurang sebulan bermula dengan penyediaan medium tanaman menggunakan tandan kelapa sawit sebagai batas diikuti menabur benih yang dihasilkan sendiri," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Ismail yang muncul Naib Johan Anugerah Inovasi Teknologi Pertanian (Kategori Petani) tahun lepas berkata dia mengambil inisiatif menanam Volvariella selepas diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian Daerah Padang Terap pada 2015 sebagai tanaman altenatif bagi menjana pendapatan pekebun kecil getah.

Mampu mengutip hasil sekitar 20 hingga 30 kilogram (kg) setiap hari, Ismail kini mengusahakan tanaman berkenaan di dalam enam khemah dengan keluasan kira-kira 464.5 meter yang boleh mengeluarkan sekurang-kurangnya 180 kg Volvariella bagi satu pusingan tanaman iaitu tiga hingga empat bulan.

"Sekarang saya ada tiga khemah dan disebabkan hasil memberangsangkan, saya bercadang nak luaskan lagi kawasan tanaman untuk tambah pengeluaran setiap musim," katanya yang berhenti menoreh getah sejak 2019.

Ismail turut menganjurkan kursus penanaman cendawan Volvariella di tapak tanaman di Kampung Musa.

"Walaupun harga getah sedang naik, penoreh perlu cuba cari sumber pendapatan sampingan termasuk tanam cendawan Volvariella kerana boleh bantu jika harga getah turun pada masa akan datang," katanya yang banyak menerima bantuan dari segi khidmat nasihat dan peralatan daripada Jabatan Pertanian.

Ismail berkata permintaan cendawan itu sangat memberangsangkan dengan pasaran tertumpu di sekitar Kuala Nerang malah turut mempunyai pelanggan tetap selain mengiklankannya di Facebook.

Menurut Ismail selain digoreng tepung, cendawan Volvariella juga sesuai dimasak sup atau lemak dan dia kini sedang mengorak langkah dengan menghasilkan serunding yang turut mendapat banyak permintaan.

-- BERNAMA

 

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/cendawan-volvariella-jadi-sumber-pendapatan-utama-penoreh-getah-464654?

 

Sumber : Astro Awani

KOTA BHARU - Kenaikan harga getah sekerap kepada RM4 sekilogram memberi kegembiraan kepada pekebun kecil di negeri ini dalam menjalani Ramadan sekali gus sebagai bonus untuk persiapan menjelang Aidilfitri.

Penoreh getah di Kuala Krai, Adnan Ibrahim, 69, berkata, kenaikan itu amat dinanti-nantikan dalam membantu meringankan bebanan menampung keperluan dan kos sara hidup yang dihadapi sekarang.

Menurutnya, hasil dan untung jualan getah oleh pekebun kecil sepertinya pula perlu dibahagikan kepada dua dengan tuan tanah kerana tidak mempunyai tanaman getah sendiri.

"Sekarang musim panas, susu getah pun kurang dan daun pokok getah juga baru hendak matang sebelum menghasilkan lebih banyak susu getah.

"Jadi, kenaikan ini sangat membantu dalam menambahkan pendapatan kami bagi menjalani ibadah puasa dan juga menyambut hari raya nanti,” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Seorang ibu tunggal, Fauzianita Hashim, 43, pula berkata, kenaikan harga getah tersebut sangat membantunya kerana dia memerlukan perbelanjaan yang banyak bagi menyara tiga anak berusia 20, 17 dan 15 tahun.

Katanya yang berasal dari Gua Musang itu, anak-anaknya juga masih belajar dan memerlukan kelengkapan Aidilfitri yang baru bagi menyambut perayaan nanti.

"Baru-baru ini, duit sudah dibelanjakan untuk membeli kelengkapan sekolah dan sekarang nak berhari raya pula.

"Semasa musim tengkujuh lalu tak ada pendapatan kerana tidak dapat keluar menoreh getah tetapi mujurlah ada bantuan RM600, dapatlah membantu golongan penoreh getah dan kali ini menerima pula rezeki kenaikan harga getah ini,” ujarnya.

Seorang lagi penoreh getah, Nik Hamdi Mamat, 64, bagaimanapun berharap akan ada lagi kenaikan harga tanaman komoditi itu dalam tempoh terdekat tahun ini.

Menurut Nik Hamdi, harga RM4 tersebut masih rendah jika dibandingkan dengan Thailand iaitu RM5 sekilogram.

"Seboleh-bolehnya penoreh mahu harga lantai getah pada RM4.50 sekilogram untuk lebih lega menjalani kehidupan dalam keadaan serba-serbi mahal.

"Kerajaan boleh turun padang sendiri melihat kami yang ‘kais pagi, makan pagi’ dan tidak ada pilihan serta tetap akan menoreh getah walaupun harga murah kerana ini sahaja punca pendapatan kami,” katanya.

 

https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/655528

 

Sumber : Sinar Harian