SAWIT: Sistem EFFB mampu elak manipulasi industri sawit
SEPANG: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dijangka melancarkan sistem Elektronik Kumpulan Buah Segar (EFFB) secara dalam talian pada pertengahan tahun ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Wee Jeck Seng, berkata projek rintis EFFB sudah berjalan sejak awal bulan ini di Tanjung Piai, bagi mengawal dan mengelak an manipulasi serta ketidakpatuhan dalam industri sawit.
Beliau berkata, sistem itu dapat merekod dan membanteras aktiviti tidak sihat seperti kecurian buah dan penipuan timbangan ketika urusan pembelian.
Katanya, sebelum ini terdapat segelintir pekebun hilang pendapatan antara 20 hingga 25 peratus selepas berdepan masalah yang tidak dibendung itu.
"Kementerian berharap sistem ini dapat memberi manfaat kepada pihak berkenaan, selain menjadi antara sistem nasional yang mengubah persekitaran kerja ke arah pendigitalan industri sawit," katanya selepas program Lambaian Umrah Jemaah Tanjung Piai, Johor, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Seramai 15 peserta terpilih membabitkan golongan B40 diraikan sebelum berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah.
Program tahunan kali ketiga anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjung Piai itu bertujuan memberi peluang golongan B40 yang tidak berkemampuan menunaikan ibadah umrah, yang ditanggung sepenuhnya oleh pihak terbabit.
Jeck Seng berkata, sistem EFFB dilaksanakan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang mampu memantau pelaporan rekod urus niaga keluaran sawit oleh pemegang lesen ke dalam pangkalan data MPOB.
Katanya, projek rintis yang sedang berjalan itu membabitkan penyertaan 2,458 pekebun kecil kelapa sawit, 10 peniaga buah sawit dan sebuah kilang sawit di kawasan Tanjung Piai.
"Sistem ini akan ditambah baik dan berharap dapat dimanfaat lebih 250,000 pekebun sawit di seluruh negara," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/03/936740/sistem-effb-mampu-elak-manipulasi-industri-sawit
Sumber: Berita Harian