Berita Agrikomoditi

Arkib Berita

SAWIT: Harga minyak sawit dijangka kekal tinggi

14 Jun 2022 6 paparan

 


KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal kukuh sehingga akhir tahun ini, antara lain didorong oleh bekalan minyak boleh dimakan di seluruh dunia yang masih lagi berkurangan.

Penganalisis Kenanga Research, Teh Kian Yeong, berkata walaupun bekalan kacang soya seharusnya bertambah baik pada separuh kedua 2022 hasil daripada penanaman di Amerika Syarikat (AS) manakala pengeluaran sawit diunjurkan lebih tinggi secara bermusim, bekalan minyak boleh dimakan secara keseluruhannya adalah kekal terhad.

Katanya, pemulihan bekalan berkemungkinan besar akan berlaku pada 2023, justeru harga minyak boleh makan seharusnya kekal kukuh.

"COVID-19 juga melembapkan permintaan sejak 2020. Walaupun berlaku penutupan yang menyebabkan gangguan kepada aktiviti sosial dan ekonomi serta gangguan rantaian bekalan, penggunaan minyak boleh dimakan dunia tidak menguncup sepanjang 2020 dan 2021, malah terus meningkat.

"Bagaimanapun, kenaikan adalah kecil dengan pertumbuhan dianggarkan meningkat kurang daripada satu peratus setiap tahun sepanjang 2020-21, jauh di bawah pertumbuhan tahunan biasa antara tiga hingga empat peratus dari segi penggunaan.

"Oleh itu, permintaan untuk minyak boleh dimakan harus meningkat apabila dunia beralih kepada keadaan normal selepas COVID-19 walaupun pertumbuhan ekonomi perlahan," katanya dalam nota kajian pasaran, hari ini.

Kian Yeong berkata, permintaan terhadap minyak boleh dimakan adalah berdaya tahan memandangkan sebahagian besar daripada produk itu digunakan sebagai bahan makanan.

"Namun begitu, pasaran bagi bahan api bio tidak boleh diabaikan dan harga tenaga hidrokarbon semasa yang tinggi bermakna seandainya harga minyak sayuran jatuh, penukaran kepada bahan api bio akan menggalakkan.

"Selain itu, risiko kemusnahan bekalan minyak sawit juga semakin meningkat disebabkan oleh kekurangan buruh di Malaysia. Dengan bulan penuaian puncak, kumpulan pekerja baharu masih belum tiba.

"Jika kelewatan ini berterusan, sesetengah buah mungkin dibiarkan tidak dituai menyebabkan bekalan minyak sawit lebih rendah daripada jangkaan," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, dengan harga minyak sawit yang mungkin telah memuncak, sektor itu mungkin kelihatan kurang menarik untuk bergerak ke hadapan.

"Namun begitu, kami masih menjangkakan harga MSM yang masih baik sebanyak RM4,500 dan RM4,000 setiap tan masing-masing sepanjang 2022 dan 2023," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2022/06/965384/harga-minyak-sawit-dijangka-kekal-tinggi
Sumber: Berita Harian

Artikel Berkaitan

Wira Komoditi

Sembang dengan Wira Komoditi

· Pembantu Digital Portal Rasmi

Wira Komoditi

Wira Komoditi

Assalamualaikum dan salam sejahtera! Saya Wira Komoditi, Pembantu Digital anda. Apa yang boleh saya bantu?

4 November 2026, 7:01 Pagi

Sila daftar sebelum bertanya

Soalan dan jawapan anda akan dihantar ke emel anda apabila anda menamatkan sesi.

Butiran, soalan dan alamat IP anda disimpan selama 365 hari untuk menjawab pertanyaan anda dan menambah baik perkhidmatan ini, kemudian dipadam.

Wira Komoditi

Wira Komoditi sedang menaip...

Komited menjaga kualiti perkhidmatan anda.