SAWIT: Ambil peluang daripada kenaikan harga minyak sawit dunia
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memanfaatkan kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) sebagai peluang meningkatkan penyertaan minyak sawit negara dalam pasaran minyak makan global.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata susulan itu, pihaknya mengadakan pertemuan dengan ramai peserta industri pertanian komoditi beberapa hari lalu, bagi berbincang berhubung kenaikan harga pasaran.
"Ini termasuk peserta dari negara lain juga seperti Mesir, India dan Bangladesh.
"Ini adalah sebahagian daripada persiapan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dalam menghadapi ketidaktentuan yang timbul daripada suasana geopolitik dunia semasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika ini, harga MSM mencecah RM8,000 setan buat kali pertama pada Selasa lalu, apabila pengguna bergegas mendapatkan minyak disebabkan kekurangan minyak bunga matahari ekoran krisis membabitkan Russia dan Ukraine.
Kontrak niaga hadapan MSM Mac baru-baru ini, melonjak RM712 kepada RM8,163 setan. Manakala kontrak April meningkat RM663 kepada RM7,435.
Penanda aras kontrak Mei meningkat RM463 kepada RM6,762.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata pertambahan pendapatan daripada trend kenaikan harga minyak sawit membantu negara pulih rentetan penularan pandemik COVID-19.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan peserta industri supaya memanfaatkam pendapatan 'masa indah' dengan menaik taraf tempat tinggal dan kemudahan lain untuk masa depan.
"Peningkatan hasil daripada lonjakan permintaan minyak sawit akan banyak membantu negara yang masih pulih daripada kesan pandemik COVID-19.
"KPPK bersama-sama agensi berkaitan akan terus menjamin masa depan pekebun kecil dan semua peserta industri sawit Malaysia.
"Bagi pekebun kecil, saya menggesa mereka untuk mempertingkatkan pengurusan dan mengambil peluang ini untuk memberi tumpuan kepada simpanan mereka," katanya.
Mengenai pembekalan minyak masak bersubsidi kerajaan untuk memenuhi permintaan tempatan, Zuraida memberi jaminan kepada orang ramai bahawa terdapat bekalan yang mencukupi dan tidak perlu dibimbangkan.
Kata beliau, pihaknya sudahpun menjangkakan kenaikan kos dalam dan luar negara.
"Kami memahami terdapat kebimbangan, akibat pandemik COVID-19 dan konflik Russia-Ukraine, terutamanya dalam kalangan kumpulan B40.
"Tetapi yakinlah terdapat bekalan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan semua orang di negara ini.
"Ini adalah komitmen kerajaan kepada semua rakyat Malaysia selaras dengan semangat Keluarga Malaysia," katanya.
Berdasarkan penyelidikan menunjukkan, pembelian panik oleh pengguna untuk menampung kekurangan sementara dalam bekalan minyak makan dari Ukraine berkemungkinan berterusan sehingga keadaan bertambah baik.
Ukraine ialah pengeluar dan pengeksport minyak bunga matahari terbesar di dunia dengan bahagian pasaran sebanyak 47 peratus daripada eksport global.
Manakala bahagian Russia dalam eksport global berjumlah 29.9 peratus.
Kedua-dua negara ini menyumbang 60 peratus minyak bunga matahari, minyak sayuran ketiga paling banyak didagangkan di dunia selepas minyak sawit dan kacang soya
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/03/930238/ambil-peluang-daripada-kenaikan-harga-minyak-sawit-dunia
Sumber: Berita Harian