Berita Agrikomoditi

Arkib Berita

KAYU KAYAN: Nilai eksport kayu Sarawak menunjukkan pemulihan meskipun berdepan krisis COVID-19

30 Mei 2022 3 paparan



KUCHING: Industri perkayuan Sarawak menunjukkan pemulihan dari segi nilai eksport bagi tahun 2021 berbanding tahun sebelumnya meskipun negara dan seluruh dunia masih berdepan dengan krisis pandemik COVID-19.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (gambar) berkata, pemulihan ini didorong oleh peningkatan harga produk perkayuan utama seperti papan lapis, balak, kayu gergaji dan papan gentian.

“Jumlah nilai eksport produk perkayuan Sarawak telah meningkat sebanyak empat peratus kepada RM3.9 bilion bagi tahun 2021 berbanding RM3.7 bilion pada tahun 2020.

“Papan lapis menyumbang sebanyak RM2.1 bilion iaitu 55 peratus daripada nilai eksport keseluruhan untuk tahun 2021.

“Pasaran utama bagi produk perkayuan Sarawak adalah Jepun yang menyumbang sebanyak RM2 bilion atau 53 peratus daripada keseluruhan nilai eksport untuk tahun 2021,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata demikian dalam ucapan penggulungannya bagi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Tambah Awang Tengah, bagi tempoh suku pertama tahun 2022, nilai eksport produk perkayuan terus menunjukkan peningkatan sebanyak 26 peratus kepada RM1.04 bilion berbanding RM826 juta pada tempoh yang sama tahun 2021.

Negara Jepun katanya, kekal sebagai pengimport utama bagi produk perkayuan negeri Sarawak yang menyumbang sebanyak RM616 juta atau 59 peratus daripada keseluruhan nilai eksport bagi tempoh suku pertama tahun 2022.

Pasaran utama lain ialah India sebanyak RM119 juta, Amerika Syarikat sebanyak RM61 juta, negara-negara Timur Tengah sebanyak RM44 juta, Taiwan sebanyak RM43 juta dan Filipina sebanyak RM41 juta.

Dari segi produk, papan lapis menunjukkan peningkatan nilai eksport iaitu sebanyak 23 peratus bagi tempoh suku pertama tahun 2022 kepada RM603 juta berbanding RM488 juta bagi tempoh suku pertama tahun 2021.

“Kerajaan komited untuk meningkatkan nilai eksport dengan menggalakkan lebih banyak pengeluaran produk nilai tambah yang tinggi seperti perabot dan produk kejuruteraan kayu serta menggiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Adalah diharapkan kadar peningkatan ini dapat dikekalkan sehingga penghujung tahun 2022 dan masa hadapan bagi memastikan industri perkayuan terus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negeri Sarawak,” katanya.

Di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, kerajaan Sarawak komited untuk meningkatkan nilai pendapatan eksport barangan kayu kepada RM8 bilion setahun menjelang tahun 2030 dengan memberi fokus kepada pengeluaran produk nilai tambah tinggi seperti perabot, produk kayu kejuruteraan dan produk berasaskan buluh, serta menggiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan produk (R&D), katanya.

Sasaran ini jelasnya, seiring dengan potensi pertumbuhan yang diunjurkan dalam nilai pasaran perabot dunia.

Justeru katanya, pihak pemain industri tempatan wajar mengambil peluang ini untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran produk-produk nilai tambah tinggi seperti produk perabot, kejuruteraan kayu dan produk buluh.

Pihak industri juga perlu berubah untuk melaksanakan penambahbaikan teknologi yang sedia ada, iaitu dengan mengadaptasi teknologi IR4.0 dan digital, katanya.

Penggunaan teknologi seperti ini juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada pengambilan buruh asing yang turut menyumbang kepada kos pengeluaran yang tinggi dan kurang berdaya saing, katanya.

Selain itu ujarnya, kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan akan terus membantu pihak industri untuk menyediakan kemudahan infrastruktur yang diperlukan seperti makmal pengujian perabot, tapak perindustrian seperti Furniture Park di Demak Laut dan Tanjung Manis serta mengadakan kolaboratif penyelidikan dan pembangunan produk dengan institusi-institusi pengajian tinggi tempatan.

https://www.utusanborneo.com.my/2022/05/26/nilai-eksport-kayu-sarawak-menunjukkan-pemulihan-meskipun-berdepan-krisis-covid-19
Sumber: Utusan Borneo

Artikel Berkaitan

Wira Komoditi

Sembang dengan Wira Komoditi

· Pembantu Digital Portal Rasmi

Wira Komoditi

Wira Komoditi

Assalamualaikum dan salam sejahtera! Saya Wira Komoditi, Pembantu Digital anda. Apa yang boleh saya bantu?

4 November 2026, 7:03 Pagi

Sila daftar sebelum bertanya

Soalan dan jawapan anda akan dihantar ke emel anda apabila anda menamatkan sesi.

Butiran, soalan dan alamat IP anda disimpan selama 365 hari untuk menjawab pertanyaan anda dan menambah baik perkhidmatan ini, kemudian dipadam.

Wira Komoditi

Wira Komoditi sedang menaip...

Komited menjaga kualiti perkhidmatan anda.