GETAH:Permintaan sarung tangan getah Malaysia kekal tinggi
PETALING JAYA: Permintaan terhadap sarung tangan getah tempatan akan terus meningkat setiap tahun walaupun pandemik COVID-19 dilihat terkawal di seluruh dunia.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata walaupun banyak pihak beranggapan permintaan terhadap sarung tangan getah akan menurun pasca pandemik, tetapi industri mengunjurkan pertumbuhan lebih 10 peratus terhadap permintaan itu setiap tahun.
Katanya, beliau amat positif dan optimistik dengan unjuran itu kerana pada masa ini, budaya kebersihan telah diamalkan semua individu di dunia.
"Keperluan untuk mengguna sarung tangan getah telah menjadi satu cara hidup bagi menunjukkan kita ini pembersih, sekali gus akan meningkatkan permintaan dalam pasaran.
"Selain itu, pihak industri juga telah mengenalpasti negara-negara yang harus kita tembusi bagi memastikan sarung tangan getah Malaysia masih menerima permintaan yang tinggi.
"Saya setuju dengan (langkah ini) kerana sewaktu melakukan lawatan kerja ke 14 negara yang mempunyai populasi besar seperti India, Pakistan, Bangladesh dan Arab Saudi, mereka mempunyai potensi tinggi untuk industri ini tembusi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) membabitkan 18 penaja utama bagi penganjuran Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa (IRGCE) 2022 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Dr Supramaniam Shanmugam.
Sementara itu, Supramaniam berkata, MARGMA yakin mampu meraih pendapatan eksport berjumlah RM24 bilion tahun ini, meningkat daripada RM17 bilion pada 2019.
Beliau berkata, persatuan itu tidak membuat perbandingan dengan tahun 2020 dan 2021 kerana pencapaian luar biasa yang dicapai semasa tempoh dua tahun itu didorong oleh pandemik COVID-19.
Katanya, pendapatan eksport sarung tangan getah pada 2020 dan 2021 masing-masing adalah kira-kira RM35 bilion dan RM55 bilion.
"Peserta industri kini sedang mengharungi masa yang mencabar menangani pelbagai dinamik dengan risiko global termasuk perang Russia-Ukraine yang berpanjangan.
"MARGMA bagaimanapun yakin industri akan menyaksikan pertumbuhan permintaan sebanyak 10 peratus hingga 12 peratus setahun, pada 2022.
"Walaupun terdapat ketidaktentuan dari segi purata harga jualan (ASP) dan situasi permintaan-pembekalan, susulan daripada peningkatan kesedaran penjagaan kesihatan global dan keperluan kawal selia yang dipertingkatkan, akan mendorong permintaan meningkat kepada 12 hingga 15 peratus pada 2023," katanya.
IRGCE 2022 yang akan diadakan pada 6 hingga 8 September ini bakal disertai lebih 600 syarikat dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Jepun, Jerman dan Perancis.
Sumber: Berita Harian