PETALING JAYA – Teknologi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menerusi formulasi makanan berjaya menghasilkan analog keju mozzarella berasaskan sawit sekali gus produk baik yang boleh digunakan dalam pembuatan piza di Malaysia.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, analog keju mozzarella tersebut dirumus menggunakan minyak sawit sebagai pengganti lemak susu dan tidak mengandungi kolesterol dan asid lemak trans.
“Analog ini mempunyai kualiti dan fungsi yang sama seperti keju mozzarella berasaskan susu komersial dan sesuai untuk membuat piza,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut sempena lawatan beliau ke fasiliti penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB di Bangi semalam, termasuk Loji Rintis Marjerin, Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biakbaka (ABBC) dan Galeri Sawit MPOB.
Selain analog mozzarella tersebut, beliau turut menyentuh kejayaan MPOB menghasilkan formulasi pelet makanan untuk lembu pedaging yang diharap dapat mengurangkan import makanan haiwan Malaysia sekurang-kurangnya 10 peratus dan membolehkan negara mengeksport produk itu.
“Teknologi yang menggunakan produk sawit itu menawarkan alternatif kepada bahan mentah yang mampu mengurangkan kos pengeluaran makanan haiwan yang tinggi. Percubaan komersial produk tersebut mendapati ia tidak menjejaskan nilai pemakanan produk tersebut.
“Formulasi pelet makanan ini yang mengandungi lebih 80 peratus bahan berasaskan sawit, termasuk dedak isirung sawit, tandan buah kosong dan minyak sawit mentah adalah komponen nutrisi lengkap untuk pertumbuhan lembu pedaging mengikut spesifikasi nutrien,” ujarnya.
Sehubungan itu, Johari berkata, pihak swasta harus terlibat dalam pengkomersialan teknologi tersebut seperti memperhalusinya agar teknologi tersebut dapat digunakan oleh industri.
“Kita boleh meminta pihak swasta seperti FGV dan Sime Darby untuk bekerjasama dengan MPOB untuk melakukan percubaan,” katanya.
Pada taklimat semalam, Johari dan delegasinya diberi taklimat mengenai Penyelidikan dan Pengkomersialan Teknologi MPOB oleh Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Sehingga kini, MPOB berjaya membangunkan 714 teknologi merangkumi semua sektor dalam industri sawit termasuk formulasi produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit.
Sebanyak 233 teknologi atau 32.7 peratus daripada teknologi tersebut telah dikomersialkan dan diterima pakai oleh industri dan usahawan tempatan. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/02/14/mpob-hasilkan-keju-mozzarella-berasaskan-sawit-tanpa-kolesterol/#google_vignette
Sumber : Kosmo